album terbaru ahmad dhani

The Rock- Master Mister Ahmad Dhani I

Saya baru selesai mendengar album terbaru pemuzik genius Indonesia, Ahmad Dhani. Album Master Mister Ahmad Dhani I ini memuatkan 10 buah lagu yang mana antaranya lagu-lagu yang pernah dirakam oleh kumpulan Dewa 19 seperti Arjuna dan Kasidah Cinta serta lagu Rahasia Wanita yang pernah dinyanyikan oleh Ari Lasso.
Lagu Kamu Kamulah Surgaku, Munajat Cinta, Aku Bukan Siapa Siapa dan Dimensi merupakan antara lagu baru yang dinyanyikan oleh Dhani. Saya kurang mahir mengulas dari segi susunan muzik dan lagu, pun begitu sebagai seorang peminat muzik yang buta seni, album ini nyata menonjolkan kelainannya yang tersendiri. Karisma serta wibawa Dhani sebagai seorang pemuzik yang idealis jelas terlihat dalam album ini.

Lagu Kamu Kamulah Surgaku cukup romantis dan syahdu. Saya menjangkakan ianya sebuah lagu slow rock pun begitu, sebaik melangkah masuk ke fasa korus, rentak lagu berubah keras. Kekuatan lagu ini sememangnya bersandar pada susunan lirik yang puitis.

Sebuah lagi lagu yang saya jangkakan bakal hits di corong-corong radio di Malaysia selepas ini ialah Munajat Cinta. Lagu ini menceritakan luahan serta munajat seorang hamba yang kesepian dan memohon kepada Tuhan supaya dikurniakan kepadanya seorang kekasih yang baik dan menyayangi dirinya seadanya.

Lagu Aku Bukan Siapa Siapa juga punyai auranya yang sendiri. Awal liriknya berupaya menaikkan mood saya untuk mendengar lagu ini hingga habis dan diulang dengar sekali lagi kemudiannya. Dhani turut menyelitkan sedikit elemen ska di dalam lagu ini. Jika anda terbiasa mendengar lagu Dewi (nyanyian Dewa 19), maka anda akan menyedari bahawa ada kesamaan pada penekanan strok drum di pengakhiran lagu. Lagu Aku Bukan Siapa Siapa turut dirakam dalam versi sentimental yang cukup mengasyikkan dan turut dimuatkan dalam album ini.

Lagu Kasidah Cinta, Aku Cinta Kau dan Dia, Rahasia Perempuan dan Arjuna kesemuanya diberi nafas baru dalam album ini. Jika dahulunya lagu Aku Cinta dan Dia dinyanyikan oleh Ahmad Band secara perlahan dan sentimental, Dhani kini merancakkannya dengan elemen rock yang bersifat sederhana. Lagu Rahasia Perempuan yang dirakam dalam dua versi juga dirancakkan dengan lebih catchy dan memberahikan! Pun begitu, versi slow lagu ini nyata lebih seksi dengan elemen jazz yang mantap.

Lagu Kasidah Cinta turut dijazzkan oleh Dhani, menjadikan lagu ini antara yang paling memberahikan dan sering diulang dengar oleh saya. Lagu Arjuna menutup album Master Mister Ahmad Dhani I dengan cukup simbolik. Lagu ini dinyanyikan secara bersahaja dan turut diselitkan sedikit unsur reggae dan world music.

0 Response to "album terbaru ahmad dhani"